Saturday, April 12, 2008

TAHNIAH KEDAH DARUL AMAN!!!

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman mengekalkan kejuaraan Liga Super musim ini apabila menewaskan Terengganu 2-1 di Stadium Darul Aman di sini, semalam.

Kejuaraan Kedah itu muncul lebih awal apabila pencabar terdekat, Selangor dibelasah Pulau Pinang 1-4 di Stadium Bandaraya.

Pemain import, Bernard Hugging memastikan Kedah memperoleh mata ke-53 liga, iaitu kedudukan yang tidak mampu lagi dipintas Selangor menerusi tandukan hasil sepakan sudut pada minit ke-86.

Terdahulu, tuan rumah di depan hasil jaringan Marlon Alex James menerusi sepakan bebas dari luar kotak penalti. Terengganu cuba bangkit dan menemui gol penyamaan pada minit ke-50 menerusi Mohd. Ashaari Shamsuddin.

Sejurus wisel penamat dibunyikan, hampir 30,000 peminat yang membanjiri Stadium Darul Aman berpesta meraikan kejuaraan Liga Super yang kekal milik pasukan Kenari.

Peluang Kedah untuk muncul juara lebih awal tanpa perlu menunggu tiga baki perlawanan sememangnya telah diduga sebelum perlawanan ekoran malang yang menimpa Selangor yang dipotong tiga mata, gara-gara bersalah kerana empat pemain mereka pulang awal pada sesi akhir klinik Ian Rush, baru-baru ini.

Thursday, January 31, 2008

I'm Back...

I am back now. Was away for quite sometime. I should be updating this blog (weblog but my bro Mr Jediraj called it a cobweb!) as frequently as I could.

Cheers!

Monday, September 24, 2007

Cabaran Saya Tidak Disambut...

Kita semua telah maklum akan wujudnya kabinet baru di Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan nama saya tercicir. Jawatan yang saya harap-harapkan, Setiausaha-Agung FAM menjadi milik Lt-Jen Datuk Azzuddin, bekas Pengarah Kor Risik Angkatan Tentera Malaysia.

Menerusi ruangan ini saya zahirkan hasrat saya akan tetapi hajat itu tidak kesampaian. Tidak mengapalah kerana saya percaya KDYMM Sultan Pahang lebih mengetahui apa yang baik untuk FAM.

Daulat Tuanku! Teruskan perjuangan ini dan kami para peminat akan terus bersama-sama Tuanku hingga ke akhirnya.

Syabas dan Tahniah diucapkan kepada Jen Azzudin di atas kepercayaan yang diberikan dan adalah diharapkan agar Bolasepak Malaysia akan bangkit, bangun dan terjaga daripada lena yang panjang dan bernafas semula di bawah kendalian kabinet baru FAM.

Ini mungkin bermaksud khidmat saya tidak diperlukan. Ataupun KDYMM Sultan Pahang lebih selesa berkerja dengan Setiausaha-Agung yang berumur lebih 60 tahun. Apapun seketika itu saya amat berharap diberikan peluang dan kepercayaan untuk menyertai FAM untuk bersama-sama memulihkan Bolasepak Malaysia yang telah haru biru dan cacamarba di bawah teraju lama.

Ini adalah kerana sebagai peminat Bolasepak Malaysia saya yakin dan percaya bahawa saya mempunyai kebolehan untuk membantu KDYMM Sultan Pahang selaku Presiden FAM untuk berbuat sesuatu bagi sukan ini, kerana "saya tahu apa hendak dibuat dan bagaimana hendak dibuatnya".

Namun, ianya bukan rezeki saya, noktah.

Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Sdra Khairy Jamaluddin sebagai Timbalan Presiden FAM yang baru. Belum terlambat untuk saya berbuat demikian.

Kepada Sdra saya harapkan agar Bolasepak Malaysia hidup semula kerana Sdra telah buktikan kepada semua bahawa "Sdra mempunyai apa yang diperlukan untuk Bolasepak Malaysia" menerusi Projek MYTeam yang kini sudah masuk musim kedua. Pilihan Sdra sebagai antara teraju FAM adlah satu-satunya keputusan bijak para perwakilan.

Saya? Akan tetap mengikuti perkembangan Boalsepak Malaysia yang sangat-sangat saya sayangi dan bersedia untuk membantu sekiranya suatu hari nanti akan datang kepada saya kepercayaan dan amanah untuk bersama-sama mereka di FAM, Insyallah!

Yang Istimewa akan datang ke KL??

Begitulah berita yang kita dengar dan sekiranya akhbar kita melaporkan secara tepat, maka kita di Kuala Lumpur akan berpeluang melihat kelibat "Yang Istimewa" atau "The Special One". Berikut adalah laporan akhbar kita mengenai bekas jurulatih Chelsea, Jose Mou


MALAYSIA JADI DESTINASI BARU MOURINHO

LONDON: Jose Mourinho, jurulatih dengan personaliti penuh kontroversi, memilih Malaysia selaku ‘destinasi kedua’ selepas memutuskan untuk meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea.

Pengumumannya dibuat sebagai menjawab pelbagai spekulasi mengenai tugas dan tanggungjawab bakal dipikulnya selepas secara mengejut memilih untuk melangkah keluar daripada Stamford Bridge. Kehadirannya ke Malaysia selepas terlebih dulu ke Amerika Syarikat, untuk mengendalikan klinik kejurulatihan yang sudah pun dirancang sejak awal lagi.


Namun apa yang pasti, kunjungannya nanti bukan untuk mencari pasukan baru, ataupun menawarkan khidmat kepada mana-mana pasukan Liga Malaysia yang mengidamkan sentuhan pengendali ‘Yang Istimewa’ itu.

“Saya akan ke Amerika untuk mengendalikan klinik bola sepak. Selepas itu, saya akan ke Malaysia untuk menjalani penggambaran iklan untuk sebuah bank. Saya juga akan belajar bahasa lain. Saya tidak akan terburu-buru, tetapi akan menanti kerja yang sesuai,” katanya.

Apa yang jelas, Mourinho tidak gelisah kerana bayaran pampasan dibayar Chelsea ekoran penamatan kontrak awalnya difahamkan berjumlah 20 juta pound (RM145 juta) – meletakkannya dalam lingkungan harga terlalu jauh daripada jangkauan mana-mana pasukan tempatan.

Mengulas lanjut perancangannya, Mourinho berkata: “Peringkat seterusnya harus negara berbeza, pengalaman baru, dengan corak bola sepak berlainan. “Saya tidak suka mencuci kain yang sudah kotor. Jika ia kotor, buangkan saja. Saya mahu tegaskan satu perkara, saya tidak mahukan pasukan kebangsaan Portugal. Saya mahukan yang terbaik untuk mereka dan saya tidak mahu (Phil) Scolari diganggu bimbang kerana saya,” katanya.

Pada masa sama, Mourinho tidak menolak kemungkinan kembali ke Liga Perdana Inggeris selepas satu tempoh masa tertentu.

“Saya ingin tegaskan satu perkara, saya tidak dipecat dan saya tidak menutup pintu kepada Chelsea. “Saya tidak mengatakan saya gembira untuk pergi, tapi saya rasa ia adalah untuk yang terbaik. Saya akan merindukan banyak perkara, satu daripadanya sudah pasti penyokong Chelsea yang sayangkan saya, ” katanya. – Agensi

Para peminat bolasepak EPL di Malaysia tidak harus melepaskan peluang ini. Yang Istimewa ini adalah antara jurulatih terkemuka di dunia dan terkenal dengan sikap radikal dan tidak-ortodoksnya dalam bolasepak.

Kedatangan Mourinho sangat-sangatlah dialukan.

Selamat Datang, Yang Istimewa...

Saturday, September 8, 2007

BIAR JASA JADI KENANGAN...

Tahniah dan Syabas kepada Skuad Hijau Kuning Kedah Darulaman kerana muncul juara Piala Malaysia 2007 yang kini merangkul gelaran sebagai “The Undisputed Champions of Bolasepak Malaysia”.

Masakan tidak, Kedah menjuarai Piala Super League, Piala FA dan kini Piala Malaysia yang paling berprestij dalam siri pertandingan bolasepak di Malaysia.

Dan dijangkakan bahawa Kedah Darulaman akan juga menjuarai Piala Sumbangsih, perlawanan antara juara sebagai pembuka tirai musim 2008 nanti.

Syabas sekali lagi dan diharapkan agar kejayaan ini tidak akan mengkhayalkan dan memabukkan para pemain dan pegawai skuad Hijau Kuning ini dan sebaliknya dijadikan tonik untuk mencipta pelbagai lagi kejayaan cemerlang.

Itu tidaklah mustahil kerana apa yang dikatakan mustahil telah ditidakmustahilkan oleh Skuad Hijau Kuning sepanjang musim ini dengan 3 piala dalam genggaman mereka.

Skuad Hijau Kuning, yang terkenal dengan slogan “Biar Jasa Jadi Kenangan” menewaskan Perak 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.Slogan ini sebenarnya berasal daripada pantun dua rangkap yang mula disebut pada 1990, iaitu: Biar Jasa Jadi Kenangan Hijau Kuning
Jadi Sandaran.
Kemenangan manis ini menamatkan penantian ataupun kemarau selama 14 tahun kerana kali terakhir Kedah Darulaman memenangi Piala Malaysia ialah pada 1993 di mana ia menewaskan Singapura 3-1 di Stadium Merdeka. Dua tahun sebelum itu Hijau Kuning muncul sebagai juara Piala Malaysia untuk kali pertama, juga dengan menewaskan Singapura.

Ada pelbagai faktor yang mengiringi kejayaan Kedah Darulaman kali ini -- satu daripadanya ialah kepercayaan yang diberikan kepada mereka yang benar-benar tahu mengenai bolasepak dan kurangnya campur-tangan politik dalam perjalanan dan pentadbiran sesebuah skuad boalsepak itu.

Kedah membuktikan bahawa masa untuk pulih sepenuhnya amatlah lama. Justeru, jangan lagi kembali ke zaman kegelapan Bolasepak Kedah Darulaman itu.

Syabas dan Tahniah!!!

SYABAS KEDAH DARULAMAN!!!

Friday, August 31, 2007

MALAYSIA MASIH BOLEH!!

Ya, Malaysia Masih Boleh! Dan Malaysia Memang Boleh!

Skuad Bolasepak Kebangsaan Malaysia telah membuktikan bahawa Malaysia Masih Boleh dan Malaysia Memang Boleh! Penantian selama 14 tahun telah lebih bermakna apabila memartabatkan semula maruah Bolasepak negara di hadapan 50 ribu penonton dan pengikut bolasepak yang telah lama rindukan kegemilangan dalam sukan ini.

Syabas dan Tahniah Malaysia dan Syabas kepada Persatuan Bolasepak Malaysia!

Sekiranya negara menunggu sehingga 12 tengah malam semalam untuk merayakan ulangtahun ke 50 Kemerdekaan Malaysia, rakyat Malaysia di Stadium Shah Alam telah 24 jam terlebih dahulu merayakan makna kemerdekaan, dalam konteks ini bagi Bolasepak Malaysia daripada belenggu yang berkepelbagaian dalam mencari kejayaan yang sangat-sangat ditunggu oleh peminat setia Bolasepak Malaysia.

Alhamdulillah, masih ada lagi umat Malaysia yang meminati Bolasepak Malaysia dan sekiranya persembahan yang bertenaga, berkomitmen dan selayaknya sebuah pasukan bolasepak kebangsaan maka insyallah para peminat akan terus berada di belakang skuad kebangsaan kita. Ini telah dibuktikan di Stadium Shah Alam pada 29 Ogos 2007.

Justeru, saya ingin memetik lirik sebuah band dari seberang yang berbunyi: “Aku Ada Kerna Engkau Ada!”.
Bagi saya ini adalah antara intipati kejayaan skuad berkenaan. Dan saya adalah antara mereka yang masih percaya akan kemampuan Malaysia dalam bolasepak.
Pada 1978 saya pernah diberi peluang untuk menonton perlawanan bolasepak antara Malaysia dan Burma (ketika itu) yang berkesudahan Malaysia membelasah 9-1, enam gol sahaja dijaringkan oleh Mokhtar Dahari yang mencipta double hattrick, suatu pencapaian yang tidak pernah dilakukan sebelum itu dan masih berdiri sebagai suatu rekod sehingga ini yang belum dapat dihampiri oleh sesiapa pun.
Walaupun keadaan padang begitu teruk umpama sebuah bendang di Kuala Nerang, Kedah namun Mokhtar dan rakan-rakannya membuktikan bahawa kondisi padang atau apa sahaja tidak akan menyekat mereka untuk mempamerkan komitmen dan mengapa mereka telah terpilih sebagai pemain kebangsaan Malaysia untuk mewalkili negara dan menyarung jersi kebanggaan negara di Sukan SEA itu.
Kehadiran saya di Stadium Merdeka ketika ialah sebagai Budak Pemungut Bola atau nama rasminya Junior Steward. Kami dipilih di kalangan mereka yang mewakili pasukan bolasepak sekolah masing-masing di Kuala Lumpur dan sekolah saya Sek Men St.John's Institution dikategorikan dalam Daerah Keramat dan yang antara seteru bolasepak kami ialah Sekolah Menengah Tinggi Setapak atau High School Setapak (bukannya Setapak High School)
Saya tidak akan lupa sejarah itu yang dicipta oleh wira saya, Arwah Mokhtar. T-shirt yang dipakai sebagai pemungut bola di tepi padang yang diotograf oleh Mokhtar masih tersimpan sehingga kini sebagai Kenangan Terindah...
Apapun, Syabas dan Tahniah kepada Malaysia dan Teruskan Perjuangan Ini kepada Skuad Bolasepak Kebangsaan Malaysia.
Petikan laporan Bernama…

SHAH ALAM, 29 Ogos (Bernama) -- Penantian 14 tahun Malaysia untuk menjuarai Pestabola Merdeka berakhir setelah berjaya menumpaskan juara bertahan, Myanmar 3-1 dalam perlawanan akhir kejohanan bola sepak edisi ke-39 itu yang berlangsung di Stadium Shah Alam, di sini malam ini.
Kali terakhir Malaysia menjulang Piala Merdeka ialah pada 1993 apabila menundukkan Korea Selatan 3-1.
Kemenangan ini juga mengembalikan kepercayaan dan keyakinan 50,000 penyokong bola sepak tanah air yang membanjiri stadium bagi sama-sama meraikan kejayaan skuad kebangsaan di bawah bimbingan B.Sathianathan. Beliau kini dilantik Pengurus Pasukan Bolasepak Kebangsaan Malaysia.
Malaysia membuka jaringan pada minit ke-12 menerusi tolakan kemas di dalam kotak penalti yang dilakukan Mohd Zaquan Adha yang menerima hantaran cantik Mohd Safee Sali dari sebelah kiri dan berjaya menggelecek penjaga gol Myanmar, Aung Aung Oo.
Kekalutan di hadapan pintu gol Myanmar akhirnya menyebabkan pemain pertahanan pasukan pelawat, Moe Win melakukan kesilapan menjaringkan gol sendiri untuk meletakkan Malaysia pada kedudukan 2-0, pada minit ke-56.
Empat minit kemudian, Mohd Safee membuktikan serangannya menyengat apabila meledakkan gawang lawan selepas menerima umpanan cantik dari tengah dan bergerak solo sebelum menewaskan benteng penjaga gol lawan.
Pemain gantian Myanmar, Tun Tun Win, cuba merapatkan jurang apabila memperoleh gol pada minit ke-73 selepas berjaya melepasi pertahanan Malaysia sebelum menewaskan ketangkasan Syed Adni.
Pada minit ke-87, Myanmar terpaksa bermain dengan sepuluh pemain apabila Kyaw Khing Win dikenakan kad merah dan diarahkan keluar padang kerana mengasari Mohd Zaquan Adha.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah berkenan menyampaikan hadiah.