Saturday, April 12, 2008

TAHNIAH KEDAH DARUL AMAN!!!

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman mengekalkan kejuaraan Liga Super musim ini apabila menewaskan Terengganu 2-1 di Stadium Darul Aman di sini, semalam.

Kejuaraan Kedah itu muncul lebih awal apabila pencabar terdekat, Selangor dibelasah Pulau Pinang 1-4 di Stadium Bandaraya.

Pemain import, Bernard Hugging memastikan Kedah memperoleh mata ke-53 liga, iaitu kedudukan yang tidak mampu lagi dipintas Selangor menerusi tandukan hasil sepakan sudut pada minit ke-86.

Terdahulu, tuan rumah di depan hasil jaringan Marlon Alex James menerusi sepakan bebas dari luar kotak penalti. Terengganu cuba bangkit dan menemui gol penyamaan pada minit ke-50 menerusi Mohd. Ashaari Shamsuddin.

Sejurus wisel penamat dibunyikan, hampir 30,000 peminat yang membanjiri Stadium Darul Aman berpesta meraikan kejuaraan Liga Super yang kekal milik pasukan Kenari.

Peluang Kedah untuk muncul juara lebih awal tanpa perlu menunggu tiga baki perlawanan sememangnya telah diduga sebelum perlawanan ekoran malang yang menimpa Selangor yang dipotong tiga mata, gara-gara bersalah kerana empat pemain mereka pulang awal pada sesi akhir klinik Ian Rush, baru-baru ini.