Friday, August 31, 2007

MALAYSIA MASIH BOLEH!!

Ya, Malaysia Masih Boleh! Dan Malaysia Memang Boleh!

Skuad Bolasepak Kebangsaan Malaysia telah membuktikan bahawa Malaysia Masih Boleh dan Malaysia Memang Boleh! Penantian selama 14 tahun telah lebih bermakna apabila memartabatkan semula maruah Bolasepak negara di hadapan 50 ribu penonton dan pengikut bolasepak yang telah lama rindukan kegemilangan dalam sukan ini.

Syabas dan Tahniah Malaysia dan Syabas kepada Persatuan Bolasepak Malaysia!

Sekiranya negara menunggu sehingga 12 tengah malam semalam untuk merayakan ulangtahun ke 50 Kemerdekaan Malaysia, rakyat Malaysia di Stadium Shah Alam telah 24 jam terlebih dahulu merayakan makna kemerdekaan, dalam konteks ini bagi Bolasepak Malaysia daripada belenggu yang berkepelbagaian dalam mencari kejayaan yang sangat-sangat ditunggu oleh peminat setia Bolasepak Malaysia.

Alhamdulillah, masih ada lagi umat Malaysia yang meminati Bolasepak Malaysia dan sekiranya persembahan yang bertenaga, berkomitmen dan selayaknya sebuah pasukan bolasepak kebangsaan maka insyallah para peminat akan terus berada di belakang skuad kebangsaan kita. Ini telah dibuktikan di Stadium Shah Alam pada 29 Ogos 2007.

Justeru, saya ingin memetik lirik sebuah band dari seberang yang berbunyi: “Aku Ada Kerna Engkau Ada!”.
Bagi saya ini adalah antara intipati kejayaan skuad berkenaan. Dan saya adalah antara mereka yang masih percaya akan kemampuan Malaysia dalam bolasepak.
Pada 1978 saya pernah diberi peluang untuk menonton perlawanan bolasepak antara Malaysia dan Burma (ketika itu) yang berkesudahan Malaysia membelasah 9-1, enam gol sahaja dijaringkan oleh Mokhtar Dahari yang mencipta double hattrick, suatu pencapaian yang tidak pernah dilakukan sebelum itu dan masih berdiri sebagai suatu rekod sehingga ini yang belum dapat dihampiri oleh sesiapa pun.
Walaupun keadaan padang begitu teruk umpama sebuah bendang di Kuala Nerang, Kedah namun Mokhtar dan rakan-rakannya membuktikan bahawa kondisi padang atau apa sahaja tidak akan menyekat mereka untuk mempamerkan komitmen dan mengapa mereka telah terpilih sebagai pemain kebangsaan Malaysia untuk mewalkili negara dan menyarung jersi kebanggaan negara di Sukan SEA itu.
Kehadiran saya di Stadium Merdeka ketika ialah sebagai Budak Pemungut Bola atau nama rasminya Junior Steward. Kami dipilih di kalangan mereka yang mewakili pasukan bolasepak sekolah masing-masing di Kuala Lumpur dan sekolah saya Sek Men St.John's Institution dikategorikan dalam Daerah Keramat dan yang antara seteru bolasepak kami ialah Sekolah Menengah Tinggi Setapak atau High School Setapak (bukannya Setapak High School)
Saya tidak akan lupa sejarah itu yang dicipta oleh wira saya, Arwah Mokhtar. T-shirt yang dipakai sebagai pemungut bola di tepi padang yang diotograf oleh Mokhtar masih tersimpan sehingga kini sebagai Kenangan Terindah...
Apapun, Syabas dan Tahniah kepada Malaysia dan Teruskan Perjuangan Ini kepada Skuad Bolasepak Kebangsaan Malaysia.
Petikan laporan Bernama…

SHAH ALAM, 29 Ogos (Bernama) -- Penantian 14 tahun Malaysia untuk menjuarai Pestabola Merdeka berakhir setelah berjaya menumpaskan juara bertahan, Myanmar 3-1 dalam perlawanan akhir kejohanan bola sepak edisi ke-39 itu yang berlangsung di Stadium Shah Alam, di sini malam ini.
Kali terakhir Malaysia menjulang Piala Merdeka ialah pada 1993 apabila menundukkan Korea Selatan 3-1.
Kemenangan ini juga mengembalikan kepercayaan dan keyakinan 50,000 penyokong bola sepak tanah air yang membanjiri stadium bagi sama-sama meraikan kejayaan skuad kebangsaan di bawah bimbingan B.Sathianathan. Beliau kini dilantik Pengurus Pasukan Bolasepak Kebangsaan Malaysia.
Malaysia membuka jaringan pada minit ke-12 menerusi tolakan kemas di dalam kotak penalti yang dilakukan Mohd Zaquan Adha yang menerima hantaran cantik Mohd Safee Sali dari sebelah kiri dan berjaya menggelecek penjaga gol Myanmar, Aung Aung Oo.
Kekalutan di hadapan pintu gol Myanmar akhirnya menyebabkan pemain pertahanan pasukan pelawat, Moe Win melakukan kesilapan menjaringkan gol sendiri untuk meletakkan Malaysia pada kedudukan 2-0, pada minit ke-56.
Empat minit kemudian, Mohd Safee membuktikan serangannya menyengat apabila meledakkan gawang lawan selepas menerima umpanan cantik dari tengah dan bergerak solo sebelum menewaskan benteng penjaga gol lawan.
Pemain gantian Myanmar, Tun Tun Win, cuba merapatkan jurang apabila memperoleh gol pada minit ke-73 selepas berjaya melepasi pertahanan Malaysia sebelum menewaskan ketangkasan Syed Adni.
Pada minit ke-87, Myanmar terpaksa bermain dengan sepuluh pemain apabila Kyaw Khing Win dikenakan kad merah dan diarahkan keluar padang kerana mengasari Mohd Zaquan Adha.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah berkenan menyampaikan hadiah.

2 comments:

Bailey said...

i hope this is the turning point for our national team to be more gemilang in the future.

Zukri Valenteno said...

Yeah, hopefully. Thanks for ur comment Ms Bailey...

However, we should not get excited too fast too soon as the cases before. Whilst the success yet to sink in, our boys had gotten too "lemak" to work hard and got back to the usual self of complacency.

Sincerely these lads should be the benchmark of "Malaysia Masih Boleh", meaning that we can do it when and if we want to do it.