Tuesday, August 7, 2007

SOKONGLAH PASUKAN-PASUKAN KITA SENDIRI!

Bernama melaporkan bahawa ianya sama terlepas pandang, tidak endah atau ego... "Apa jua yang anda mahu katakan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mahu mengalah dengan hakikat bahawa kejohanan bolasepak remaja terbesar dunia -- Piala Kelab-Kelab Belia (CYC)akan bermula esok."
Di sebalik ketetapan bahawa Malaysia adalah tuan rumah dan akan beraksi dalam perlawanan pembukaan CYC esok menentang Bayern Munich di Kuching, FAM memutuskan untuk meneruskan dengan jadual perlawanan Piala Malaysia, juga esok.
Pusingan pertama suku akhir Piala Malaysia akan menyaksikan Selangor menentang Terengganu di Stadium Shah Alam, Negeri Sembilan bertemu Sabah di Stadium Paroi dan Perlis menerima kunjungan Perak di Stadium Utama, Kangar. Perlawanan antara Juara Piala Liga Super dan Juara Piala FA Kedah Darulaman menentang Melaka bagaimanapun telah ditunda kerana kedua-dua Stadium Darulaman Alor Setar dan Stadium Hang Jebat di Melaka adalah lokasi untuk perlawanan-perlawanan CYC.
Bernama memetik Pengerusi Pertandingan FAM yang juga Naib Presidennya Dato Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar sebagai berkata "kami tidak ada pilihan kecuali meneruskan jadual perlawanan-perlawanan Piala Malaysia kerana sebarang penundaan akan menjejaskan perancangan kami untuk mengadakan perlawanan akhir sebelum bulan puasa yang dijangka bermula 13 Sept."
Benarlah ungkapan itu lantaran bukanlah senang untuk mengurus bolasepak di negara ini apabila mutakhir ini wujudnya ramai pengkritik sukan yang tidak berlesen!
Semasa jadual perlawanan-perlawanan Piala Malaysia ditetapkan, tarikh bagi CYC masih belum dimuktamadkan," tambah beliau semasa dihubungi hari ini.
Saya berpendapat bahawa keputusan FAM adalah tepat. Dalam bab ini saya menyokong keputusan FAM.

Mungkin ada konflik kecil di sini bilamana beberapa perlawanan hebat akan berlangsung dan ada pihak yang mahukan fokus peminat bolasepak tempatan ditujukan hanya kepada CYC walaupun tidak dapat tidak jadual-jadual perlawanan Piala Malaysia telah lebih awal ditetapkan. Dalam situasi ini maka para peminat adalah penentu dan akan menjadi hakim kerana mereka kini "dimanjakan dengan pilihan" samada hendak menonton pemain bolasepak usia remaja yang bakal menjadi gagasan pemain hebat dunia suatu masa nanti atau ingin menonton perlawanan-perlawanan "serius" membabitkan kelompok 8 pasukan utama di Malaysia berjuang untuk seterusnya menentukan empat pasukan terakhir sebelum melangkah ke Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2007.
Biarlah apapun hendak orang perkatakan, terutamanya mereka yang ingin mempromosikan perlawanan-perlawanan bolasepak yang akan membabitkan pasukan-pasukan terkenal dunia hatta pada kumpulan umur remaja kerana ini adalah hasilnya apabila kita dan semua pihak mendemokrasikan bolasepak yang bermakna para peminat berpeluang menentukan selera mereka.
Pada suatu pihak janganlah lupa akan orang kita yang hendak memartabatkan semula Bolasepak Malaysia yang seperti hidup segan mati tak mahu. Usaha memartabatkan Bolasepak Malaysia hendaklah berterusan dan lakukanlah apa jua yang termampu untuk mencapai sasarannya, biarpun apabila kita harus berdepan dengan situasi seperti ini.
Justeru, saya tidak percaya bahawa CYC akan hilang kilauannya dan sebaliknya akan terus hebat manakala ada kelompok-kelompok peminat bola yang masih yakin dan percaya dengan Bolasepak Malaysia yang bermakna disebalik kehebatan CYC Piala Malaysia yang kita punya tidak akan hilang serinya. Maka biarlah perlawanan-perlawanan suku akhir Piala Malaysia ini dijalankan mengikut jadual.
Seruan saya : Meriahkanlah Bolasepak di Malaysia dan Bolasepak Malaysia -- selang-selikanlah perlawanan-perlawanan CYC dan Piala Malaysia 2007 kerana pada analisis terakhirnya Bolasepak akan terus segar dan bertambah dimartabatkan dalam suasana yang penuh warna warni. Ambillah kesempatan keemasan ini untuk menghebohkan Bolasepak di Malaysia dan Bolasepak Malaysia kerana tidaklah selalu kita akan berhadapan dengan senario seperti ini.
Apa salahnya orang-orang kita nak tengok Mat-Mat Salleh, Mat Cokelat atau Mat Hitam mempamerkan bakat bolasepak mereka di sana sini di pelusok negara kita dan pada masa yang sama tonton juga anak-anak bangsa kita bertungkus lumus "berjuang" untuk menempah 4 tempat terakhir Piala Malaysia 2007.
Manalah tau, anak-anak bangsa kita pun tak mahu ketinggalan untuk membuktikan bahawa mereka juga hebat bermain bolasepak. Masakan mereka tidak sedar akan tumpuan dunia ke Malaysia untuk minggu-minggu yang berikutnya ini?
Yang menang ialah penonton kita juga, bukan ka?

No comments: