Monday, September 24, 2007

Yang Istimewa akan datang ke KL??

Begitulah berita yang kita dengar dan sekiranya akhbar kita melaporkan secara tepat, maka kita di Kuala Lumpur akan berpeluang melihat kelibat "Yang Istimewa" atau "The Special One". Berikut adalah laporan akhbar kita mengenai bekas jurulatih Chelsea, Jose Mou


MALAYSIA JADI DESTINASI BARU MOURINHO

LONDON: Jose Mourinho, jurulatih dengan personaliti penuh kontroversi, memilih Malaysia selaku ‘destinasi kedua’ selepas memutuskan untuk meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea.

Pengumumannya dibuat sebagai menjawab pelbagai spekulasi mengenai tugas dan tanggungjawab bakal dipikulnya selepas secara mengejut memilih untuk melangkah keluar daripada Stamford Bridge. Kehadirannya ke Malaysia selepas terlebih dulu ke Amerika Syarikat, untuk mengendalikan klinik kejurulatihan yang sudah pun dirancang sejak awal lagi.


Namun apa yang pasti, kunjungannya nanti bukan untuk mencari pasukan baru, ataupun menawarkan khidmat kepada mana-mana pasukan Liga Malaysia yang mengidamkan sentuhan pengendali ‘Yang Istimewa’ itu.

“Saya akan ke Amerika untuk mengendalikan klinik bola sepak. Selepas itu, saya akan ke Malaysia untuk menjalani penggambaran iklan untuk sebuah bank. Saya juga akan belajar bahasa lain. Saya tidak akan terburu-buru, tetapi akan menanti kerja yang sesuai,” katanya.

Apa yang jelas, Mourinho tidak gelisah kerana bayaran pampasan dibayar Chelsea ekoran penamatan kontrak awalnya difahamkan berjumlah 20 juta pound (RM145 juta) – meletakkannya dalam lingkungan harga terlalu jauh daripada jangkauan mana-mana pasukan tempatan.

Mengulas lanjut perancangannya, Mourinho berkata: “Peringkat seterusnya harus negara berbeza, pengalaman baru, dengan corak bola sepak berlainan. “Saya tidak suka mencuci kain yang sudah kotor. Jika ia kotor, buangkan saja. Saya mahu tegaskan satu perkara, saya tidak mahukan pasukan kebangsaan Portugal. Saya mahukan yang terbaik untuk mereka dan saya tidak mahu (Phil) Scolari diganggu bimbang kerana saya,” katanya.

Pada masa sama, Mourinho tidak menolak kemungkinan kembali ke Liga Perdana Inggeris selepas satu tempoh masa tertentu.

“Saya ingin tegaskan satu perkara, saya tidak dipecat dan saya tidak menutup pintu kepada Chelsea. “Saya tidak mengatakan saya gembira untuk pergi, tapi saya rasa ia adalah untuk yang terbaik. Saya akan merindukan banyak perkara, satu daripadanya sudah pasti penyokong Chelsea yang sayangkan saya, ” katanya. – Agensi

Para peminat bolasepak EPL di Malaysia tidak harus melepaskan peluang ini. Yang Istimewa ini adalah antara jurulatih terkemuka di dunia dan terkenal dengan sikap radikal dan tidak-ortodoksnya dalam bolasepak.

Kedatangan Mourinho sangat-sangatlah dialukan.

Selamat Datang, Yang Istimewa...

No comments: